Mohd Yusuf ditemukan lemas
Chukai: Pelajar yang hilang ketika mandi bersama 10 rakan di Sungai Neram, dekat sini, petang semalam, dijumpai lemas pagi ini.
Mayat Mohd Yusuf Adnan, 16, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Felda Neram ditemui pasukan penyelamat jam 8.10 pagi.
Komander Operasi Pasukan Khas Operasi, Taktikal dan Penyelamat (STORM) Zon 2 Jabatan Bomba dan Penyelamat Terengganu, Mohd Zailani Abdullah berkata, mayat mangsa ditemui kira-kira 400 meter dari lokasi terakhir dilaporkan hilang.
Menurutnya, pasukan penyelamat melakukan pencarian di kawasan tebing sungai bermula malam tadi.
"Mayat ditemukan tersangkut pada ranting dan dahan kayu yang berada di dalam sungai.
"Mangsa ditemui lengkap dengan pakaian sebelum dibawa naik ke darat," katanya.
Mohd Zailani berkata, mayat diserahkan kepada polis sebelum dibawa ke Bilik Forensik Hospital Dungun.
Media semalam melaporkan seorang pelajar dikhuatiri lemas selepas dihanyutkan arus ketika mandi di sungai terbabit, kira-kira jam 4 petang.
Mangsa yang dihanyutkan arus terkapai-kapai meminta tolong namun beberapa rakan yang cuba membantu gagal selepas dia tenggelam ke dasar sungai.
Disiarkan pada: Disember 4, 2024 @ 11:55am
Rosli Ilham
am@hmetro.com.my
Artikel
➡️ Harian Metro
#infosemasa @infosemasaofficial